Monday, October 26, 2009

Ya Allah, Ampunkanlah Dosa Kami...

0515 a.m, 27 Oktober 2009
aku menangis dalam tidur, terjaga aku kerana tersentak kesedihan yang melampau sangat, lalu air mata aku tersembur keluar, aku menangis teresak-esak seperti suatu perkara yang amat pilu baru sahaja menerpa ke telinga aku.
amat aku sayang diri beliau di saat kami bersama, walaupun aku tidak menunjukkannya tapi aku lebih menyanyangi beliau dari isterinya. Beliau seorang yang tabah, cekal serta redha dengan ketentuan Illahi. Mempunyai 5 cahaya mata yang terdiri daripada 2 teruna dan selebihnya dara. Walaupun kehidupan beliau tidaklah sehebat mana namun beliau tidak pernah terhenti dari memanjat kesyukuran dengan apa yang telah Allah limpahkan kepadanya. Aku masih ingat lagi sewaktu beliau menegur aku kerana menonton drama korea, "ala paham ke orang tu cakap apa?" aku tersenyum kerana memang benar kata-kata beliau, untuk apa aku meninggikan volume peti tv padahal aku tidak mengerti kata-kata yang di sebut oleh pelakon itu. Dulu aku agak gerun dengan beliau mungkin kerana beliau agak tegas orangnya ketika mendidik abang-abang aku mengaji, atau mungkin aku agak kecewa pada ketika itu kerana dia tidak mengendahkan semangat aku ketika itu untuk berjuang bersama-sama abang-abang aku untuk menuntut ilmu dengan yakin memberi alasan aku masih kecil tapi dia memuji aku nampak comel bila memakai tudung pada seusia 4tahun.
Pada hari lahir beliau yang ke 73 aku telah menghadiahkan bekas kaca, mungkin bukan jodoh aku untuk lebih lama dengan beliau, bekas kaca itu pecah dan beliau memohon seribu kemaafan dari aku, amat aku terharu pada saat itu. Tiba sewaktu beliau jatuh sakit akibat dari penyakit kaum adam, aku dapat lihat betapa tenangnya air muka beliau sewaktu di hospital, walaupun bibir terkunci untuk berkata-kata tapi aku dapat merasakan keperitan yang beliau tanggungi. Dia berjuang untuk terus hidup di bumi-MU ini ya ALLAH kerana aku pasti beliau sendiri tidak pasti dosa pahala beliau selayaknya untuk menempatkan jasad serta roh beliau di surga-MU.
Masih aku membayangi, seawal pagi beliau mengayuh basikal untuk menunaikan tanggungjawab beliau sebagai ketua keluarga, keluar membeli barang-barang dapur, memenuhi segala pesanan sang isteri, bukan beliau tidak mampu memiliki kenderaan bermotor tapi beliau lebih menyanyangi anak bongsu beliau yang mempersuamikan seorang yang berat tulang dan hanya pandai menanam tebu di tepi bibir, beliau akur dengan ketentuan itu maka beliau berkorban demi kesenangan anak-anak. Pada pagi raya menjelang pasti cucu-cucunya pulang mencium tangan beliau, itu merupakan satu kewajiban bagi sesiapa yang datang ke rumah usang itu tidak kira muda mahupun yang tua. Sesungguhnya beliau amatlah dikagumi oleh penduduk setempat, sebutkanlah nama beliau pasti masih ada yang kenal sehingga ke hari ini.
0515 a.m, 27 Oktober 2003
Para malaikat telah datang untuk menjemput beliau, aku kaget apabila mendengar suara di corong telefon mengatakan beliau sedang nazak. Memang lama masa ALLAH telah berikan kepada kami untuk bersama beliau tetapi apa kan daya bukan jodoh kami untuk berada di sisi beliau di saat hembusan nafas terakhir beliau. Sayu tak terkata di hati kami melihat sekujur tubuh kaku di pembaringan, tidak bernyawa, tidak berganjak, tidak berkata-kata....
"Tok, Ala tak pernah lupa pada tok, maafkan ala sebab lama tak menziarah pusara tok, tapi mimpi yang ala ratapi tadi memang terasa tok hidup kembali, ala bersyukur sebab dapat jumpa tok semula walau dalam mimpi, tapi kenapa tok diam, ala peluk tok erat-erat, di saat itulah air mata ala keluar tok, ala rindu, ala mohon sangat agar ALLAH panjangkan hayat tok sampai tok tengok ala atas pelamin, tapi di tika itu juga tok menghilang.."
Ya Allah, KAU ampunkanlah dosa Haji Abdul Hamid bin Saad, KAU tempatkanlah beliau disamping orang-orang yang soleh dan ENGKAU peliharalah jasad serta rohnya..

No comments:

Post a Comment